Pages

Friday, September 17, 2010

Puasa Enam & Beberapa Persoalan Mengenainya



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.

Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.
04 Syawal 1429h- 041008

http://www.abuanasmadani.com/

Friday, June 4, 2010

MUTIARA PILIHAN



Barangsiapa yang tidak menemukan ketenteraman bersama ALLAH ketika bersama dengan orang lain dan menemukannya ketika sendirian,maka dia adalah orang yang benar tapi lemah.

Barangsiapa menemukan ketenteraman ketika bersama orang lain dan tidak menemukannya ketika sendirian,maka dia adalah pesakit.

Barangsiapa yang tidak menemukan ketenteraman,sama ada ketika bersama orang lain mahupun sendirian,maka dia bagaikan mayat yang terbaring.

Barangsiapa menemukannya,sama ada ketika bersama orang lain mahupun ketika sendirian,maka dia adalah pencinta ALLAH yang kukuh.

Barangsiapa pintu hatinya terbuka ketika sendirian,maka darjatnya tidak akan naik kecuali ketika dia sedang bersendirian.

Barangsiapa pintu hatinya terbuka ketika bersama orang lain,menasihati mereka dan memberikan nasihaat kepada mereka,maka darjatnya tidak akan naik,kecuali ketika bersama mereka.

Barangsiapa pintu hatinya terbuka ketika menerima seluruh ketentuan ALLAH dan bagaimanapun kehendak-NYA,maka darjatnya naik ketika bersama manusia mahupun ketika sedang sendirian.

IBNU QAYYIM AL-JAUZIYYAH
(dipetik dari kitabnya AL-FAWAID)

Monday, February 1, 2010

SEM YANG MENCABAR

Salam Ukhwah buat semua,sem ni membawa cabaran yang besar buat diriku.sem yang amat padat ditambah dengan amanah yang terpikul dibahu,sungguh perit....moga ALLAH permudahkan.

sem ni terpaksa aku ambik satu subjet tahun tiga iaitu falsafah sains islam.sepatutnya aku ambik subjet falsafah islam (subjet tahun dua) tapi disebabkan subjet lain semua bertembung dengan subjet fakulti sains.nak ke tak nak,aku terpaksa ambik juga.Ni lah keadaan aku yang ambik double major.terpaksa berkejar ke kelas dibawah dua fakulti(fakulti sains& akademi pengajian Islam).Walaubagaimanapun,ia amat menyeronokkan.Rasa bertuah sangat Allah mencampak diriku disini....ALHAMDULILLAH.

Sem lepas aku bergelut dengan subjet epistemologi islam(subjet tahun 1).Ni subjet falsafah yang wajib ku ambil.Semua 3 subjet falsafah.Bermain dengan falsafah membuatkan diriku keliru dan pening2.Bukan apa,untuk faham dan ingat amat susah tapi untuk jawab EXAM tak sesusah nak faham.Tapi,berpuas hatikah diriku hanya dengan dapat result tinggi tapi tidak memahami ilmu tersebut?

EPISTEMOLOGI ISLAM~banyak yang aku dapat melalui subjet ini.Walau kadang-kadang tak berpuas hati dengan pandangan yang diberikan oleh lecturer tapi yang baik aku tetap ambik,yang mana rasa tak setuju aku tinggalkan.Bak kata mentorku,janganlah kamu suka menuduh@mengkatogerikan orang lain(lecturer) dengan fahaman2 atau kumpulan2 yang engkau tidak sukai kerana ia boleh menghalang kamu dari mengambil apa yang bermanfaat darinya.Yang tak betul tinggal je lah.

subjet ini lebih memberi gambaran kepada konsep ilmu & falsafah dalam islam serta perbezaan dengan konsep yang dipegang oleh barat.Jika konsep ilmu & falsafah barat hanya mengambil sumber yang zahir & fizikal sahaja (seperti kajian,Eksperimen,pemerhatian,pengalaman DLL) tetapi Islam tidak hanya sumber diatas bahkan ditambah dengan sumber yang lebih sahih Iaitu WAHYU.Disaat falsafah barat yang mempercayai peranan akal semata-mata yang menyebabkan berlakunya kerosakan bukan sahaja kepada rohani individu tetapi juga kepada keindahan alam tetapi falsafah yang didokong aleh ilmuan islam tidak meletakkan akal yang tertinggi tetapi Wahyu adalah yang utama disamping peranan akal untuk menilai.Alangkah indahnya ISLAM,mengiktiraf akal tetapi bukan akal adalah segala-galanya kerana akal manusia berbeza dan terhad maka hasil pemikiran juga berbeza dan terhad.

Sebagai contoh,mengenai satu hadis yang diriwayat dalam kitab Al-Bukhari iaitu
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari

Menurut lecturer ku,ada pembuktian sains yang menunjukkan bahawa pada kedua-dua sayap lalat adalah beracun.tak ada pun penawar sebagaimana hadis nabi tetapi kajian sains yang dilakukan oleh saintis lain (antaranya Prof. Brefild,juga beleh rujuk tulisan Dr danial Zainal Abidin, )membuktikan bahawa sabda Rasulullah ini tepat yang mana memang benar salah satu sayap lalat ada penawar.Maka,Falsafah sains islam menolak kajian dan eksperimen yang menyatakan kedua-dua sayap lalat beracun tetapi menerima kajian yang menyatakan benar,lalat memang mempunyai penawar disalah satu sayapnya.Maka konsep yang diguna oleh falsafah sains islam adalah apabila bertembung eksperimen dan kajian dengan wahyu maka wahyu diutamakan dan dibenarkan sedangkan kajian tersebut ditolak kerana wahyu hukumnya qat'ie dalam penerimaan manakala kajian manusia serta akal manusia boleh jadi betul,boleh jadi salah.Buktinya,dua saintis telah berbeza dalam kajian mengenai kewujudan penawar pada sayap lalat.Maka sudah tentu salah satu dari kajian ini tertolak.Maka,yang bertepatan dengan wahyu itu dibenarkan manakala yang bertentangan ditolak.Inilah bezanya falsafah sains islam dengan barat.mereka(barat) tiada kayu ukur dalam menentukan kesahihan kajian kecuali akal semata-mata.

Wednesday, December 2, 2009

GEMBIRA DI AKHIRAT


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Dalam asyik mentelaah satu kitab,ku tertarik dengan satu ungkapan (ayat) :-

“JANGANLAH GUNAKAN TAPAK TANGANMU UNTUK MENULIS KECUALI SESUATU YANG MEMBUATMU GEMBIRA DI HARI KIAMAT”


Ungkapan ini ku jumpai dalam kitab Al-Fawaid yang ditulis oleh ulama besar silam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.Tak ku pasti ini ungkapan beliau atau pengtahqiq kitab ini (Abu Khalid ‘Aid Said Al-Husain).Yang pentingnya ia memberi sejuta makna yang mendalam buat semua umat islam terutama blogger,penulis buku,wartawan dan semua yang terlibat dalam penyampaian maklumat,berita,ilmu dan sebagainya kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan.Satu fitnah/maklumat palsu/perkara yang melalaikan akan memberi kesan pada mereka di akhirat nanti.

Semoga kita semua mendapat rahmat & hidayah dari ALLAH dan dipelihara oleh-NYA dari terpesong ke jalan yang sesat.

“Dimana Bumi Dipijak,Disitu Islam Dijunjung”

“Kembali Kepada Al-Quran & Al-Sunnah,Pasti Hidupmu Berjaya Didunia Dan Akhirat”

Thursday, November 26, 2009

SALAM EIDUL ADHA


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sama-sama kita hayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s

Saturday, October 24, 2009

TAHNIAH





Mabruk alaik buat abang kie dan kak ros atas kelahiran putera sulung.... comelnyeeee.... selamat menjengok dunia pada hari jumaat 4 zulkaedah 1430 H bersamaan dengan 23 oktaber 2009... Moga lahirnya putera ini akan menguatkan lagi ikatan keluarga antara abang kie,kak ros,anak & keluarga sebelah mertua.... juga di doakan Moga anak ini antara pewaris nabi yang akan membawa dakwah dan tujuan murni islam... "YA ALLAH,MANTAPKANLAH DIA DALAM ILMU AGAMA DAN KURNIAKANLAH KEPADANYA ILMU TA'WIL" AMEEN